Dalam coretan aku yang sebelum ini, apabila melihat Boboyot termenung jauh...terlintas difikiran ku bahawa Boboyot mungkin merenung apakah nasibnya jika aku dan suami pergi meninggalkan dia. Siapakah insan yang sanggup mengambil dan menjaganya dirinya yang buta itu.
Tidak pernah aku duga, bahawa dalam masa terdekat ini aku dan suami benar-benar terpaksa pergi meninggalkannya ntah buat sementara waktu atau buat selama-lamanya. Aku dan suami telah dijemput oleh Allah SWT untuk menjadi tetamunya di tanah suci.
Berhari-hari aku termenung memikirkan siapakah insan yang sanggup menjaga Boboyot ku ini. Tanpa aku duga, atas pertolongan Yang Maha Kuasa...seorang sahabat ku menawarkan dirinya untuk menjaga Boboyot. Bergenang airmata ku membaca sms tawaran darinya itu.
Kini, Boboyot dah berada dalam jagaan Kak Rose. Wahai Boboyot, jangan lah nakal-nakal duduk di rumah orang ye. Jangan buat kotor dan makan kuat sangat tau...
Jutaan terima kasih Kak Rose kerana sudi menjaga Boboyot. Semoga Allah membalas budi baik Kak Rose.
Selamat Tinggal Boboyot Mama...
Wednesday, 25 July 2012
Wednesday, 27 June 2012
Si Buta Termenung Jauh...
Boboyot sedang termenung jauh di dalam kotak
tempat persembunyian kesayangannya...
Melihat si buta yang sedang termenung jauh ini...tiba2 hatiku menjadi pilu dan sebak. Dia seolah-olah sedang memikirkan apakah untung nasibnya pada hari esok...atau mungkin juga dia sedang memikirkan mengapakah setiap detik dan waktu dunianya hanya diselebungi kegelapan. Mengapa dia dia tidak dapat melihat suatu apa pun.
Setiap kali bola berloceng digolekkan ke arahnya...dia akan terkejar ke sana ke mari mencari bola yang berbunyi itu sampaikan terhantuk ke dinding dan kerusi meja. Mungkinkah hatinya terlalu ingin melihat dan menangkap bola itu.
Mungkinkah binatang sekecil ini boleh mempunyai keinginan untuk melihat siapakan dua orang insan yang selalu membelai dan memberinya makan. Mungkinkah dia mempunyai rasa takut andainya dua orang insan ini tiba-tiba menghilang, adakah dia masih mempunyai makanan untuk dimakan dan air untuk diminum.
Wahai Tomei Boboyot...hamba ALLAH yang comel... Janganlah engkau gusar tentang untung nasibmu...kerana sesungguhnya ALLAH SWT lah yang menjadi pelindungmu dan DIA jugalah yang memberimu rezeki. Seandainya takdir ALLAH telah tersurat bahawa kami berdua akan pergi mengadap-Nya terlebih dahulu...semoga masih ada insan yang sudi untuk mengambil dan menjagamu...
Wednesday, 20 June 2012
Jangan Ambil Kasut Mama Saya...!!!
Boboyot sebenarnya mempunyai satu tabiat yang pelik iaitu suka menyorokkan kasut tidur saya. Kasut tidur saya selalu saja hilang entah ke mana. Kadang-kadang saya jumpa sebelah di bawah katil, sebelah di bawah meja, sebelah di bawah almari dan kadang-kadang langsung tak jumpa dah. Ntah kenapa lah dia berminat sangat untuk menyorokkan kasut tidur saya itu. Saya pun tak tau apa yang best sangat pada dia buat begitu.
Satu hari, adik lelaki saya pakai kasut tidur saya itu dan pakai hingga ke luar rumah. Kebetulan Boboyot ada diluar rumah ketika itu, bila tercium saja bau kasut saya itu apalagi dia pun segera cuba merampas kasut itu dan terus menggonggong ke sana ke mari untuk disorokkan. Aduyai...sungguh pelik tabiat dia ni...memang tak faham. Sama-samalah kita saksikan video ini...
Satu hari, adik lelaki saya pakai kasut tidur saya itu dan pakai hingga ke luar rumah. Kebetulan Boboyot ada diluar rumah ketika itu, bila tercium saja bau kasut saya itu apalagi dia pun segera cuba merampas kasut itu dan terus menggonggong ke sana ke mari untuk disorokkan. Aduyai...sungguh pelik tabiat dia ni...memang tak faham. Sama-samalah kita saksikan video ini...
Friday, 15 June 2012
Kebijaksanaannya sungguh mengagumkan..!!!
Betapa bijaknya kucing ini berlakon. Inilah bukti kebesaran ALLAH SWT menganugerahkan kebijaksanaan kepada sesiapa saja yang dikehendaki-Nya...
Wake Up..!! Wake Up..!!
Kepada sesiapa yang susah sangat nak bangun tidur, haaa...bolehlah mencari jam loceng yang cukup power macam ni... Confirm boleh bangun punyer...!!! Hehehehe....!!!
Wednesday, 13 June 2012
Saturday, 9 June 2012
Sudah Suratan Takdir...
Sejak dua minggu yang lalu...suatu keajaiban telah berlaku yang mana dengan tidak semena-mena Ola telah boleh bangun dan berjalan semula. Walau pun kakinya masih tak begitu kuat, dan kadang-kadang baru beberapa langkah berjalan dia dah jatuh terduduk, dia tetap gagah bangun semula untuk belajar berjalan. Apabila dia terasa nak membuang air kecil atau besar, dia akan berusaha dengan bersusah payah untuk bangun dan berjalan menuju ke bilik air. Semasa Ola sihat, dia membuang najisnya di dalam bilik air. Apabila dia sakit tak mampu bergerak..dia tahu dia telah menyusahkan mak untuk mencuci najisnya. Jadi, bila dia dah mampu untuk bangun...dia seolah-olah sentiasa cuba sedaya upayanya untuk tidak menyusahkan mak lagi.
Begitulah juga bila sampai masa untuk mak nak bagi dia susu atau makanan. Dia akan segera bangun untuk makan dan minum susu sendiri. Dia tak mau menyusahkan mak untuk menyuapnya makan lagi. Ola juga pantang nampak mak duduk di mana-mana, dia akan segera cuba berjalan untuk mendapatkan mak kerana dia sentiasa nak duduk dekat dengan mak.
Hari demi hari, kesihatan Ola kelihatan semakin pulih. Daripada langkah yang perlahan dan asyik terjatuh, langkahnya dah semakin tetap dan laju. Tanpa disedari Ola sudah mula berani membawa dirinya keluar rumah. Mungkin juga Ola memang sudah lama terigin untuk memijak rumput dan tanah serta menghirup udara segar di luar rumah. Melihat perubahan Ola yang positif itu, gembiranya hati mak bukan kepalang. Harapan yang menggunung tinggi berbunga di hati untuk melihat Ola pulih seperti sedia kala.
Kini, dah dua tiga hari Ola mengiringi mak keluar rumah setiap pagi bila mak nak pergi berniaga. Balik dari berniaga tengah hari nanti, Ola dah sedia menanti untuk menyambut mak balik. Mendengar saja bunyi motor mak, Ola akan segera bangun berjalan terhuyung-hayang untuk mendapatkan mak. Tapi hari ini...mak balik lewat sikit dari berniaga, pukul 3 ptg baru sampai ke rumah. Sebaik sahaja mak sampai di hadapan rumah, mak lihat Ola tidur di atas bahu jalan dekat rumah. Mak segera parking motor dan pergi mendapatkan Ola. "Ola...Ola...Ola...kenapa tidur kat atas jalan ni...? Kan tgh panas tu...bangun, bangun... Mak dah balik ni, bangun cepat.. Minta maap laa..mak terlambat balik ari ni.. Ola...Ola...bangun sayang.." Tapi...alangkah gelapnya dunia ini bila mak merasa badan Ola yang keras kaku itu. Apa lagi melihat mulutnya yang berdarah dan kesan-kesan darah yang mengalir di atas jalan. Di tengkuk Ola pula terdapat kesan luka seperti digilis tayar motor. "Ya ALLAH... Ola dah tak ada...Ya ALLAH... Engkau dah ambil Ola rupanya... Ola..Ola dah tinggalkan mak... Tak sempat mak nak tengok Ola sihat... Kenapa la Ola pergi dengan cara macam ni...? Mak lagi rela Ola mati dalam bakul Ola tu daripada Ola mati macam ni... Ola...Ola...Ola..."
Ola telah pergi buat selama-lamanya... Tiada yang dapat diungkapkan dengan kata-kata untuk menggambarkan kesedihan yang melanda hati mak di saat ini. Namun, apalah daya kita sebagai hamba...sudah suratan takdir, Tuhan telah mengambil nyawamu dengan cara begini nak...Mak redha... Dengan hati yang sangat sayu mak mengangkat Ola dan meletakkannya semula di dalam bakul tempat tidurnya. Tapi kali ini mak tau...Ola akan tidur buat selama-lamanya...Ola tak akan bangun lagi. Dan hari ini juga adalah hari terakhir mak dapat melihat Ola...
Barulah mak tau mengapa malam tadi, Ola beriya-iya dan bersusah payah memanjat katil untuk tidur bersama mak. Ola merapatkan badannya hingga kena badan mak dan tidur dengan mak hingga ke subuh. Dan pagi ini, Ola mengikut mak hingga ke motor sebelum mak pergi berniaga. Rupa-rupanya Ola nak tinggalkan mak buat selama-lamanya...
Ola...mak akan merindui Ola...Terima kasih kerana pernah hadir dalam hidup mak...
Ola telah pergi buat selama-lamanya... Tiada yang dapat diungkapkan dengan kata-kata untuk menggambarkan kesedihan yang melanda hati mak di saat ini. Namun, apalah daya kita sebagai hamba...sudah suratan takdir, Tuhan telah mengambil nyawamu dengan cara begini nak...Mak redha... Dengan hati yang sangat sayu mak mengangkat Ola dan meletakkannya semula di dalam bakul tempat tidurnya. Tapi kali ini mak tau...Ola akan tidur buat selama-lamanya...Ola tak akan bangun lagi. Dan hari ini juga adalah hari terakhir mak dapat melihat Ola...
Barulah mak tau mengapa malam tadi, Ola beriya-iya dan bersusah payah memanjat katil untuk tidur bersama mak. Ola merapatkan badannya hingga kena badan mak dan tidur dengan mak hingga ke subuh. Dan pagi ini, Ola mengikut mak hingga ke motor sebelum mak pergi berniaga. Rupa-rupanya Ola nak tinggalkan mak buat selama-lamanya...
Ola...mak akan merindui Ola...Terima kasih kerana pernah hadir dalam hidup mak...
Inilah rupa Ola yang sudah tidak bernyawa lagi... Kenangan bersamamu akan senantiasa terpahad di hati kami sekeluarga... Selamat pulang kepada Pencipta mu sayang...
p/s : Kepada insan yang telah melanggar Ola, Sampai hati awak biarkan dia mati begitu saja di tengah panas.
Friday, 18 May 2012
Boboyot dapat baju baru yang pertama...!
Hari ini...buat pertama kalinya aku membelikan Boboyot sehelai baju. Aku tertarik nak belikan baju ni untuk dia sebab baju ni sangat cute dan berwarna merah. Suami ku seorang yang gila bola dan dia peminat setia Manchester United (MU). Berdozen-dozen jersy merah MU ada dalam almari baju dia. Jadi, dengan membelikan Boboyot baju merah yang cute ini dapat lah dia geng ngan papa angkat dia ni jadi penyokong MU jugak. Hehehe...elok sangat lah tu... Sehati sejiwa lah konon....
Cantik tak baju baru saya...? Mama yang belikan...
Saya pun fan MU jugak macam papa...
Ada macam jersy club MU tak...? Boboyot tak nampak...
Thursday, 17 May 2012
Hobi baru aku sekarang adalah mengacau Boboyot...hehehe...!!!
Sejak Boboyot hadir dalam hidup kami... Kami berdua kini dah ada hobi baru iaitu... Mengacau Boboyot...!!! Hahahaha.....!!! Seronok...seronok...seronok... Pantang saja ada masa terluang, Boboyot akan jadi mangsa kena kacau...kalau tak kena kacau dengan aku, kena kacau dengan suami aku...hehehe... kesian dia.. Tapi, kadang-kadang tu kami yang kena balik. Kalo dia berjaya tangkap kaki atau tangan kami...dia akan gigit dan cengkam kuat-kuat. Aduyai...kadang-kadang tu sampai luka pun ada. Hah..!! Padan muke kitaorg balik. Balasan sebab main-mainkan dia..
Tuesday, 15 May 2012
Rezeki Itu Ketentuan ALLAH SWT.
ALLAH SWT berfirman : "Dan tidak satu pun makhluk bergerak (bernyawa) di bumi melainkan semuanya dijamin ALLAH rezekinya. Dia mengetahui tempat kediamannya dan tempat penyimpanannya. Semuanya tertulis dalam kitab yang nyata (Lauh Mahfuz)." -(Surah Hud , Ayat 6)
Dan di dalam satu surah yang lain pula, ALLAH SWT juga ada berfirman : "Dan berapa banyak makhluk bergerak dan bernyawa yang tidak dapat membawa (mengurus) rezekinya sendiri. ALLAH lah yang memberi rezeki kepadanya dan kepadamu. Dia Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui." -(Surah Al-Ankabut , Ayat 60)
Apa yang terjadi kepada Tomei Boboyot dan Ola membuktikan kepada kita semua tentang kebenaran ayat suci Al-Quran ini. Betapa besarnya rahmat dan kasih sayang ALLAH buat hamba-hambaNya. Walau pun ada makhlukNya yang buta dan lumpuh tak bergerak yang mana tak mungkin akan dapat mencari rezekinya sendiri... rezeki tetap sampai ke mulut mereka melalui tangan hamba-hambaNya yang lain yang telah ALLAH aturkan. Sesungguhnya tiada apa yang dapat menandingi Kebesaran, Keangungan dan Kebijaksanaan ALLAH dalam mengatur alam semesta ini... ALLAH Hu Akbar.
Seandainya Boboyot dapat melihat...
Seandainya Boboyot dapat melihat...tentu dia tahu bahawa masih ada kucing lain yang tidak bernasib baik seperti dirinya...
"Ola...Ola... Ola...ola... Mana Ola ni...?? Ola...mak dah balik ni...." Itulah laungan mak setiap kali pulang dari berniaga. Mendengar saja pangilan mak, Ola berlari-lari mendapatkan mak. "Miiaaakk...Miiaakk...Miiaakk...Miiaakk....!!!" Ola mengiau-ngiau minta di dukong dan di belai. Ngiauan Ola sungguh pelik berbanding kucing-kucing mak yang lain. Bunyi ngiauan nya seolah-olah menyebut laungan "mak...". Ola cuba meniru kami adik beradik yang memanggil mak dengan panggilan "mak". Selagi mak tak ambil dan belai dia, selagi itulah dia akan mengiau begitu.
Setelah di angkat ke riba, mak pula akan minta ciuman manja dari Ola... "Cium mak skit... cium mak skit... cepat...kalo tak, tak nak kawan...!!" Ola pun apa lagi...habis satu muka mak diciumnya...sambil laungan "miiaakk" nyer tak putus-putus kedengaran.
Itu lah Ola...salah seekor kucing mak bermata biru pekat, berbulu coklat yang sangat cantik dan berperangai pelik. Hanya dia yang mengiau dengan nada sedemikian. Dia betul-betul hanya mengiau sebegitu bila nampak saja kelibat mak. Dia memanggil mak seolah-olah seperti nada seorang manusia yang melaung panggilan "mak..". Dia sungguh istimewa dan seekor kucing yang sangat manja. Setiap malam dia akan tidur di sebelah mak. Kalau tak dapat di sebelah, di hujung kaki mak pun jadi lah. Dia akan menemani mak solat, masak, mengemas rumah, menyapu sampah di luar rumah malah boleh dikatakan di mana saja ada mak, pasti ada Ola.
Tapi...itu semua dulu... Kini...semua itu hanyalah sebuah kenangan indah yang terpahat dilubuk hati mak. Lebih kurang setahun lalu, Ola diserang suatu penyakit ganjil yang mana akhirnya mengakibatkan Ola menjadi bisu dan lumpuh seluruh anggota badannya. Sedihnya hati mak bukan kepalang melihatkan keadaan Ola yang tak ubah seperti bangkai bernyawa. Tapi demi kasih sayang mak pada Ola, mak tetap setia menjaga Ola bagaikan anak kandungnya sendiri.
Setiap hari sebelum pergi berniaga, mak akan menyuap Ola makan terlebih dahulu dan begitulah juga bila dah pulang dari berniaga. Itu lah rutin mak seharian hampir setahun lebih lamanya. Saksikan lah video yang menyentuh perasaan ini...
Setiap hari sebelum pergi berniaga, mak akan menyuap Ola makan terlebih dahulu dan begitulah juga bila dah pulang dari berniaga. Itu lah rutin mak seharian hampir setahun lebih lamanya. Saksikan lah video yang menyentuh perasaan ini...
Boboyot dibuli oleh sekumpulan samseng kampung dusun...kesian dia...
Boboyot ni...walau pun dia buta, tetapi dia sangat aktif dan lincah. Kadang-kadang gelagat dia tu tak ubah macam kucing-kucing lain yang boleh melihat saja. Akibat daripada kelincahannya itu...dia telah dibuli oleh sekumpulan samseng kampung dusun ketika pulang ke kampung baru-baru ini. Sekumpulan samseng kampung dusun ini diketuai oleh seekor raksasa gemuk yang mana di dalam video ini dia kelihatannya sedang pengsan akibat overdose makan ikan dan overdose meningkatkan populasi kaum sejenisnya di kampung dusun tersebut. Saksikanlah video yang menarik ini. Selamat menonton... !!
Friday, 4 May 2012
Teman-Teman Boboyot Di Kampung...
Boboyot terdiam tak tau nak gerak ke mana...
Mimi dan anak-anak sulung nya...uuuuuu....ramainya...
Makan Time.... Cepat-cepat...!!! Saper lambat tak dapat...!!
"Hmmm...hari2 makan nasi ngan ikan, boring lah..!!"
Cuba teka...?? Saper yang cakap tuh..??
Thursday, 3 May 2012
Boboyot Balik Kampung...
Pada hari Jumaat, 27 April 2012 yang lalu aku dan adik perempuan ku pulang ke kampung. Boboyot aku bawa bersama...kesian dia, macam takut-takut aje. Almaklumlah...jarang-jarang naik kereta, selalunya naik kereta kejap-kejap aje bila pergi klinik. Ni jauh sangat perjalananannya...lama sangat duduk dalam kereta. Akhirnya... Boboyot hanya menghabiskan masanya dengan.... z z z z z z z z z....tido la... apa lagi....hampeh..!!
Saturday, 14 April 2012
Sedapnye ayam KFC !
14 April 2012 (Sabtu) , Hari ini genaplah 2 minggu dari tarikh Boboyot disengat serangga berbisa. Alhamdulillah...syukur sangat-sangat kepada Allah swt kerana Boboyot sudah sihat. Tangannya bukan sahaja dah tak bengkak lagi malah Boboyot dah boleh berlari-lari dan bermain seperti biasa. Boboyot juga dah semakin berselera makan terutamanya ayam goreng kfc. Kalau dia dapat ayam goreng kfc...fuh..!! bom jatuh pun dia buat derk...jer. Kalau mak lalu lagi lah dia buat bodoh jer... Mungkin Boboyot sekarang ni sedang berusaha keras untuk memboyotkan perutnya supaya sesuai dengan namanya Tomei Boboyot...hehehe...
Friday, 13 April 2012
Bersabarlah sayang...
Pada 31 Mac 2012, hari Sabtu yang lalu…aku dan suami keluar rumah selepas waktu zohor sehinggalah ke malam hari. Lebih kurang pukul 10 malam, aku sampai dirumah dan terus menuju ke yard untuk melihat Boboyot terlebih dahulu. Aku melihat dia terbaring dengan kelopak matanya terbuka dan badannya tak bergerak. Jantungku berdegup kencang melihat keadaan itu kerana selalunya apabila dia mendengar sahaja pintu grill rumah dibuka, dia akan segera bangun dan menantiku menyapa dan membelainya. Dengan tanganku yang menggeletar aku meraba ke dadanya dan alhamdulillah…nasib baik masih ada degupan jantungnya. Aku lantas mengangkat dan memeluknya, dan barulah aku nampak sebelah tangannya bengkak dan merah macam disengat oleh serangga yang berbisa. Hatiku menjadi sangat takut jika berlaku sesuatu yang buruk ke atas Boboyot kerana aku tak tahu binatang atau serangga apakah yang telah menggigit dia. Aku nak membawanya ke klinik haiwan tetapi hari dah jauh malam. Jadi, suamiku meyapu dan mengurut kakinya dengan minyak urut sementara menanti hari siang esok untuk membawanya ke klinik.
Keesokan harinya, bengkak di kakinya nampak kurang sedikit, namun tanpa membuang masa suamiku terus membawanya ke klinik haiwan. Doktor mengesahkan dia disengat serangga berbisa tapi tak pasti serangga apa. Setelah diberi suntikan antibiotic dan vitamin, alhamdulillah bengkak di kakinya nampak semakin kurang dan dia pun dah mula ada selera makan.
Inilah rupa tangan Boboyot yang bengkak.
Saturday, 7 April 2012
Oh boboyot...kasihannya dirimu...
Video berikut ini pula adalah ‘testing’ yang aku buat untuk mempastikan bahawa Boboyot buta atau tidak. Inilah cara yang aku gunakan masa mula-mula aku syak dia buta dulu sebelum aku dapat pengesahan daripada doktor haiwan.
Boboyot...3 bulan berlalu...
Kini…telah hampir 3 bulan aku dan suami membela Tomei Boboyot…atau nama panggilan manjanya Boboyot…! Syukur alhamdulillah…bersyukur sangat-sangat kepada Allah kerana sekarang Boboyot dah semakin besar, sihat dan selera makannya pun dah semakin bertambah. Berkat kesabaran mengajarnya juga, dia kini dah pandai mencari tempat makan dan membuang najisnya sendiri walaupun dia buta. Dia tak lagi terpijak atau terduduk di atas najisnya sendiri. Malah dia juga pandai bermain dengan permainan ‘catnip’ nya kerana permainan itu berasaskan bau. Ia diperbuat daripada pokok herba catnip yang mana baunya meransang deria bau kucing. Kadang-kadang aku juga selalu bermain kejar-kejar dan bermain lidi dengan Boboyot. Seronok melihat telatahnya yang bijak menggunakan deria rasa, bau dan pendengaran yang ada padanya untuk mengesan objek dan melindungi dirinya.
Thursday, 5 April 2012
Tomei Boboyot kucing yang istimewa !
Pada 17 Januari 2012, hari selasa... dalam perjalanan ke office, aku ternampak seekor anak kucing jalan mengesut-ngesut di tepi jalan berhampiran tempat letak kereta di perkarangan office aku. Separuh daripada badannya disaluti lumpur hitam dan sangat kotor. Aku dengan segera parking kereta ku dan terus berjalan ke arah anak kucing tersebut. Alangkah sayunya hati ku apabila melihat anak kucing itu mengiaw-ngiaw dan dan jalan mengesut-ngesut seolah-olah sedang mencari ibunya kerana sejuk dan lapar. Separuh badannya pula penuh dengan lumpur hitam yang sangat kotor seolah-olah macam baru terjatuh ke dalam longkang kotor dan mungkin ada hamba Allah yang mengangkat dan meletakkannya di situ.
Aku lantas mengambilnya dan membawanya ke toilet office. Aku memandikannya sampai bersih dan membalut tubuhnya dengan kain. Setelah badannya bersih dan kering, aku mendapati dibawah peha kaki sebelah kanannya terdapat kesan lebam yang sangat besar. Patutlah anak kucing tu tak boleh berjalan dan hanya mengesut-ngesut saja. Sebelah kaki kanannya tu sudah keras dan lututnya dah tak blh bengkok lagi, jadi mcm mana nak bangun berdiri dan berjalan. Melihatkan keadaannya yang sangat kecil, sakit dan tak punya ibu pada masa tu... hati ku rasa sayu sangat.. Bagaimanalah ada orang yang sanggup membuang zuriat sendiri, melihat anak kucing yang terbuang begitu pun dah pilu rasa hati.
Setelah meletakan anak kucing itu di salah satu bilik kosong di office, aku terpaksa meninggalkan anak kucing itu buat sementara waktu kerana aku ada meeting di luar office. Aku lantas memberikan sedikit wang kepada clerk di office untuk membelikan makanan kucing dan susu kotak di kedai berhampiran.
Petang itu clerk menelefon aku memberi tahu bahawa anak kucing itu tidak menjamah sedikit pun makanan dan susu yang diletakkan berhampiran dengannya. Risau hati ku dibuatnya kerana anak kucing itu boleh mati kelaparan dengan mudah memandangkan keadaannya yang sedang sakit dan tak makan dan minum sejak dari pagi lagi atau ntah mungkin sejak semalam. Clerk pula nak balik pukul 5pm sedangkan aku masih jauh lagi dari office waktu tu. Sebaik sahaja meeting selesai, aku segera balik ke office dan membawa anak kucing itu balik ke rumah ku.
Didalam perjalanan balik, aku terfikir mungkin anak kucing ini masih tak boleh makan lagi dan hanya minum susu dari ibunya. Jadi, aku terus menelefon suamiku agar membelikan susu kucing bersama dengan botol susunya sekali dalam perjalanan balik kerja nanti. Dalam hati ku hanya berserah dan bertawakal pada Allah agar anak kucing ini masih dapat bernafas dan akan sihat nanti.
Di rumah...setelah suamiku pulang, aku segera membancuh susu yang dibeli dan memberi anak kucing itu minum menggunakan botol susu anak kucing yang sangat kecil tu. Alangkah gelojoh dan tergopoh-gapahnya dia kerana dia sangat kelaparan sampai mengigil-gigil. Hampir habis sebotol kecik itu diminumnya. Setelah itu, suamiku menyapu minyak urut dan menggosok perlahan-lahan kaki anak kucing itu. Tak lama lepas tu, si comel kecil tu pun tertidur... Hati ku berasa sangat lega kerana melihat keadaan itu membawa petanda bahawa masih ada harapan untuk anak kucing itu sembuh dan sihat semula.
Keesokan paginya, aku segera bangun untuk memberinya susu sebelum pergi kerja. Aku bertanya pada suamiku perlukah aku balik semula ke rumah tengah hari nanti kerana aku takut dia kelaparan kalau aku terlewat balik rumah petang nanti. Suamiku kata, melihat pada keadaan tubuh dia, sepatutnya dia sudah boleh makan. Tinggal lah sebekas air dan makanan ikan lembut khas untuk kitten yang abang beli semalam katanya. Letak lah bekas tu dekat dgn anak kucing tu. Lagi pun, anak kucing itu masih boleh berjalan dengan mengesut-ngesut, jadi tak susah utk dia datang ke piring nipis itu. Setelah mendengar pandangan suamiku, aku pun meninggalkan sebekas makanan dan minuman buat si comel kecil dengan harapan agar dia tak kelaparan jika akau terlewat pulang petang nanti.
Petang itu..sesampainya aku di rumah, sedih rasa hati melihat anak kucing itu tidak menjamah sedikit pun makanan dan minuman yang aku tinggalkan. Terpaksalah aku membancuh susu dan memberinya minum. Nasib baik lah aku tak balik lewat sangat petang itu, kalau tidak menggigil kelaparan lagi lah dia. Kemudian, aku menefon ibu ku di kampung untuk bertanya pada ibu ku tentang cara yang terbaik untuk menjaga anak kucing itu. Ibu ku ini bukan sebarangan orang tau. Dia ni dah boleh dipanggil pakar kucing gitu kerana ibu dah membela kucing sejak dari zaman anak daranya lagi sehinggalah ke hari ini. Sekarang ini...kucing ibu di kampung ada lebih kurang 20 ekor. Ibu ku berkata mungkin juga keadaannya yang sakit membuatnya tiada selera makan atau deria baunya masih tak berapa ok atau mungkin juga dia belum pernah makan apa-apa selain susu ibunya jadi dia tak pandai nak makan. Jadi, aku harus menyuapnya makan mengunakan tangan ku sehinggalah dia pandai makan sendiri. Malam itu, aku menyuapnya makan dan alhamdulillah...sungguh berselera dia makan. Selepas makan, suamiku sambung mengurut kakinya dengan minyak urut sampai lah dia tertidur.
Masuk hari ketiga, syukur alhamdulillah...kakinya dah semakin pulih. Dia berupaya bangun dan cuba berjalan. Dia mampu berjalan dua tiga tapak sebelum terduduk semula. Gembiranya rasa hati bukan kepalang melihat perubahan positifnya yang sangat cepat. Aku yakin, dalam seminggu dua lagi dia pasti dah boleh berlari dan makan dengan sendirinya.
Namun...siapalah kita sebagai hamba untuk menduga apa yang ingin ALLAH uji kepada hamba-hambaNya. Pada pagi hari ke empat, aku bangun awal lagi untuk memberinya makan dan minum susu walau pun hari itu hari sabtu, aku tak pergi kerja. Tapi, kali ini aku mengambilnya dan meletakkan nya di atas kabinet dapur sementara aku nak membasuh tangan sebelum menyuapnya makan. Di depan mataku dia bangun berjalan dan terus jatuh ke lantai. Serta merta jantungku berdegup kencang memikirkan apakah yang terlintas difikiran ku itu adalah benar. Untuk memujuk hatiku bahawa sangkaan ku itu mungkin salah, aku pun mengangkat anak kucing itu ke riba ku dan dengan menggunakan jari telunjuk ku aku cuba dengan perlahan-lahan mencucuk anak matanya yang sedang terbuka itu. Semakin hujung jari ku hampir mencecah anak matanya...kelopak matanya tidak juga berkedip. Hanya jari ku yang semakin mengeletar, tetapi kelopak matanya tetap tidak bergerak apalagi berkedip. Ya...ALLAH...anak kucing ini buta rupanya....ya ALLAH.....
Abang..........!!!!!! Aku terus menjerit memanggil suamiku dan air mataku terus mengalir tak berhenti. Aku tak dapat nak bayangkan betapa malangnya nasib anak kucing kecil itu. Sudahlah kehilangan ibu sejak kecil, kakinya pula cacat dan rupa-rupanya di tambah pula dengan matanya yang buta. Patut lah sejak dari hari pertama mengambilnya aku melihat anak mata hitamnya sangat pelik tak sama macam kucing biasa. Tapi, aku tak terfikir langsung ada yang tak kena dan baru lah aku sedar kenapa dia tak makan dan minum makanan yang aku tinggalkan untuknya. Dan barulah aku tau kenapa dah 2,3 kali dia terduduk di atas najisnya sendiri. Ya Allah..berilah aku kekuatan untuk menjaga dan membesarkan anak kucing ini.
Setelah membawanya ke klinik dan mendapatkan pengesahan daripada doktor bahawa dia memang buta, aku dan suami terus membuat keputusan muktamad untuk membela si comel kecil ini selagi ada nyawanya dan selagi ada hayat kami. Aku juga selalu memanjatkan doa kepada ALLAH SWT agar menyembuhkan kakinya seperti sedia kala agar sekurang-kurangnya dia dapat berjalan dengan selesa untuk menghidu makanan dan membuang najis walau pun tak dapat melihat.
bersambung....
bersambung....
Subscribe to:
Posts (Atom)